Jumaat, 12 Februari 2021

TULIS BERITA RADIO/TV

NAK TULIS MACAM MANA NI BOSS?  TULISLAH SEPERTI MANA KAMU BERCAKAP.

1. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apa khabar? Hari ini cuti umum Tahun Baharu Cina. Selamat berehat bersama keluarga dan Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan Tionghua yang meraikannya.

2. Masih ramai rakan-rakan maya mahukan saya terus menulis tentang penulisan media penyiaran sebagai panduan kepada mereka yang langsung tidak mempunyai asas dalam bidang ini. Ada antara mereka kakitangan RTM sendiri yang bertukar ke bahagian berita dan ada juga dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil bidang pengajian media.

3. Baiklah, saya kongsikan pengalaman saya yang tidak seberapa ini dengan anda. Mungkin pengalaman saya sebagai penyunting berita radio dan TV boleh membantu anda memperbaiki penulisan dalam bidang ini.

4. Sekali imbas mungkin ramai beranggapan tidak ada bezanya antara penulisan berita penyiaran (Radio/TV) dengan penulisan media cetak. Walaupun konsep pemberitaannya hampir sama, namun cara penulisan sebenarnya agak berbeza. Kenapa demikian? 

5. Jawapannya kerana medium kedua-duanya berbeza. Akhbar atau majalah untuk dibaca manakala radio atau TV untuk pendengar atau penonton. Justeru, sudah tentu gaya penulisannya berbeza kerana sasarannya berlainan. 

6. Jika akhbar menggunakan bahasa penulisan maka berita penyiaran menggunakan sepenuhnya bahasa percakapan. Dengan lain perkataan, penulisan akhbar untuk tatapan mata manakala berita penyiaran untuk pancaindera telinga.

7. Kajian mendapati, mata mempunyai kemampuan yang lebih berbanding telinga untuk menghantar maklumat terus ke otak. Telinga pula mudah keliru dengan sebutan sesuatu perkataan dan keupayaan “menangkap” sesuatu maksud agak terhad. Oleh itu, bahasa media penyiaran perlu mudah, ringkas dan padat. Seperti yang saya selalu sebut sebelum ini, sentiasa gunakan KISS, Keep it short and simple

8. Tidak seperti pembaca akhbar yang boleh mengulangi perkataan atau ayat   yang tidak difahaminya, pendengar berita radio tidak mempunyai kemampuan demikian. Ini kerana berita radio dibaca sekali lalu sahaja. Tiada ulangan. Tetapi, mungkin ada yang mengatakan, berita radio boleh dirakam dan pendengar boleh mengulang dengar. 

9. Soalnya, berapa ramaikah yang berbuat demikian. Yang ada mungkin hanya stesen pengesan siaran yang ingin mendapatkan kandungan maklumat sesuatu berita. Tetapi yang kita tahu jarang orang merakam berita.

10. Satu lagi ciri penting berita penyiaran ialah ia menggunakan bahasa percakapan bukan bahasa penulisan.  Perhatikan apabila kita berbual dengan kawan-kawan. Kita gunakan bahasa percakapan atau bualan.

11.  Apakah ciri-ciri bahasa percakapan? Kita gunakan bahasa harian dan mudah. Ayat yang kita gunakan pula adalah pendek-pendek dan senang difahami.

12. Kunci penulisan berita penyiaran ialah “Tulis seperti anda bercakap,” antara nasihat yang sering kita dengar daripada penulis terkenal bagi menghasilkan penulisan berita yang baik.

13. Bagaimanapun, perlu diingatkan walaupun kita digalakkan menggunakan   bahasa percakapan tetapi ini tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengabaikan soal nahu dan tata bahasa. Gunakan bahasa yang betul.

 INTRO BERITA PENYIARAN

1. Lead atau intro adalah elemen yang amat penting. Biasanya kita menggunakan konsep piramid terbalik yang menggabungkan elemen 5 W dan 1H (Who, What, How, Where, When, Why) dalam intro. 

2. Kesemua elemen tersebut menjawab apa yang berlaku dalam satu perenggan intro.  Namun bagi berita TV dan Radio, konsep piramid terbalik tidak sesuai digunapakai. Kenapa? Jawabnya, ia akan menjadikan intro terlalu banyak fakta dan ini menyukarkan pendengar untuk memahami maksudnya.

3. Dalam penyiaran, intro beritanya memainkan peranan yang hampir sama dengan tajuk-tajuk berita dalam media cetak. Di sinilah letaknya daya penarik untuk memikat pendengar. Seperti seorang penjual, dia akan menonjolkan kelebihan produknya untuk memikat pembeli.

4. Seseorang penonton atau pendengar akan membuat keputusan untuk terus mengikuti siaran berita berasaskan kekuatan lead atau intro samalah seperti pembaca akhbar. Mereka melihat tajuk berita terlebih dahulu sebelum membaca cerita penuh. Mereka akan beralih ke berita lain jika tidak berminat dengan tajuk yang dibaca. Ini sedikit berbeza dengan media siaran. 

5. Penonton TV misalnya mungkin akan menukarkan siarannya ke stesen TV lain atau menutup terus peti televisyennya. Demikian juga dengan radio. Justeru, pengarang berita penyiaran perlu mengutamakan perkara-perkara berikut semasa membuat intro:

• Tarik perhatian pendengar/penonton dengan mengutamakan inti sesuatu berita.
• Jangan buat intro yang sukar difaham dengan memasukkan terlalu banyak fakta.
• Intro perlu terkini/semasa. 

6. Intro berita penyiaran yang baik seharusnya tidak mengandungi terlalu banyak fakta seperti siapa, apa, kenapa, di mana, bila dan bagaimana (konsep piramid terbalik). Paling banyak ia sepatutnya mengandungi satu atau dua fakta sahaja. Fakta selebihnya bolehlah dimasukkan di perenggan kedua dan ketiga. 

7. Kenapa kita tidak seharusnya memasukkan terlalu banyak fakta? Sebabnya, kita menulis untuk pendengar. Terlalu banyak fakta menyukarkan pendengar untuk memahami maksud yang disampaikan. Jadi, intro berita penyiaran seharusnya padat dan mampu menarik perhatian pendengar. 

8. Satu lagi ciri penting yang perlu ada dalam intro berita penyiaran ialah ia seharusnya bersifat semasa atau terkini. Jadi, tidak seharusnya ada perkataan malam tadi atau semalam dalam intro. Malah, perkataan hari ini juga tidak sepatutnya digunakan kerana memang berita dilaporkan hari ini.

9. Prinsip berita penyiaran ialah berita dilaporkan semasa kejadian berlaku. Jadi,  intro berita mesti terkini, berlainan dengan akhbar yang terbit esok.

10. Jadi, cukup setakat ini saja dulu. Kita sambung di lain kali dengan tajuk yang lain pula. Ingat, sentiasa patuh dan jaga SOP bagi menangani COVID19.

Tiada ulasan:

TULIS BERITA RADIO/TV

NAK TULIS MACAM MANA NI BOSS?  TULISLAH SEPERTI MANA KAMU BERCAKAP. 1. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apa khabar? Hari ini cuti umum T...