Khamis, 14 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 6 )

PERNGORBANAN ABAH. ( Bahagian 1 )

Sememangnya seawalnya aku dengan abah tidak berapa mesra, mungkin aku tidak biasa dengannya.Apabila aku tinggal bersama beliau di Tanah Rancangan Felda. Aku makin mengenalinya, padangan dari kacamata seorang kanak-kanak yang membesar. Bermula sewal tadika aku sentiasa berdirikari, semuanya aku lakukan sendiri.

Masuk alam persekolahan di sekolah rendah, aku masih lagi melakukan sendiri, kegiatan sebagai kanak-kanak kian berubah, daripada hanya bermain aku juga diajak oleh abah ke ladang, kecewa juga apabila segala pertolongan ku di ladang tidak mendapat upah sebagimana rakan yang lain tapi ku paksakan juga walau tanpa rela.
Sawit Sira

Apabila meningkat usia, aku juga boleh berfikir dengan sendirinya, segala perngorbanan yang dilakukan tidaklah perlu mendapat balasan, yang penting jujur. Begitulah sebenarnya cara abah mendidikku, tidak seperti beliau mendidik adik-adikku yang lain, penuh dengan kemanjaan.
Setelah aku meningkat ke umur 11 tahun, kemesraan antara abah dan aku makin terjalin, sehinggakan dia sudah hadir kemajlis penyampaian hadiah di sekolahku, walaupun sejak dari darjah satu aku sentiasa mendapat hadiah di hari penyampaian hadiah sekolah.

Aku kian rapat dengan abah selari dengan peningkatan umurku dan juga pertambahan usia abah.Abah selalu bercerita dan aku adalah pendengar setianya. Menurut abah dia pernah berjalan kaki dari rumah kesimpang luar yang jaraknya lebih 4km untuk menunggu bas, kerana bas hanya lalu di simpang luar sahaja , bas dari Kuantan ke Jerantut.
Gambar Hiasan dari Blogger 

Kata Abah, bas pagi akan sampai ke simpang dalam pukul 9, dan balik pukul 3, waktu itu Jalan ke Jerantut bengkang bengkok seperti ular kena palu, jarak perjalanan dari simpang ke Jerantut dalam sejam, sesampai ke Jerantut Feri terpaksa menaiki Feri,kemudian sambung perjalanan dengan bas yang sama. Aku tidak boleh membayangkan bagaimana Feri tersebut.

Tujuan Abah ke Bandar adalah semata-mata untuk membeli ikan laut, kerana hari-hari makan ikan sardin ( Ikan terkurung istilah yang abah gunakan).Jemu juga memakan lauk yang sama dan ikan darat.Sesampai di pasar abah akan meminta penjual membelah ikan tersebut, kemudian abah akan isikan garam, selepas itu dibungkus dengan kertas akhbar lama kedap-kedap.Abah akan sampai ke rumah dalam pukul 6 petang. Semuanya abah ceritakan selepas hubungan aku dan abah makin akrab terutama setelah aku bersekolah menengah.


Adik beradik aku yang sama ibu berlainan bapa ada 4 orang, dua lelaki dan dua perempuan, kalau ikutkan ramai lagi, tetapi ibuku mengalami masalah keguguran, menurut abah, ada 8 atau 9. Cuma yang hidup ada 4 dan kemudian tinggal 3 setelah salah seorang adik lelakiku meninggal dalam usia 20an.Adik lelakiku itu adalah anak kedua Abah.


Bersambung PENGORBANAN ABAH 2

Isnin, 11 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 5 )

AKU DAN SEPUPU SERTA MAKCIK,PAKCIK.

Aku dan sepupuku dibesarkan di sebuah ceruk kampong yang jauh dengan orang ramai, kemudian apabila ibubapa berpindah menyertai tanah rancangan Felda,kebetulan dapat tempat yang sama, cumanya rumahku ditanah rancangan meruapakan jalan utama dan rumah sepupuku agak kebelakang.
Kami sering bermain bersama sejak dari kecil, ketika di kampung dia tinggal bersama keluarga serta neneknya yang ku panggil Tok Dayang dan Datuknya yang ku panggil Tokki Hussin,tokkinya sangat terkenal sebagai Tok Peran yakni orang yang mahir dalam selok belok memburu,terutama rusa. 

Mungkin kerana warisan keluarga, sepupuku yang ku panggil Zaham,sejak dari kecil sudah pandai memburu, bayangkan!!!!  kanak-kanak berusia 5 tahun sudah tahu menjejak dan membuat jerat kancil dan napuh.Perangkap kami sering mengena,terutama kancil dan landak.Aku memang serasi dengan dia kerana aku lebih mahir bab-bab di air dan dia bab-bab di hutan.

Sejak berpindah ke tanah rancangan, pada awalnya aku jarang bermain dengannya sehinggalah aku bersekolah rendah, tatkala aku sering ditinggal oleh ibu untuk pulang ke kampung abah di Segamat.Semasa itu Zaham ada dua orang lagi adik iatu Linda Dan Suhaimi,hubungan aku dengan keluarga sepupuku makin rapat.

Ayah kepada Zaham ku panggil Ayahchik dan ibunya pula ku panggil Makcik.Ibu dan makcik adalah adik beradik, mereka adalah dua beradik yang seibu dan sebapa, manakala ada lagi adik beradik mereka yang sebapa lain ibu,dan seibu lain bapa, yang aku ingat adik beradik mereka yang sebapa ialah, Maklong di Kg Sawah,Ayah Ngah di Bukit Mendi,Mokde di Kampung Jengka Batu 13,manakala adik beradik seibu mereka yang aku ingat ialah Ayah Long di Pasir Tumboh, Ayah Ngah Di Jengka 5,Ayah Chik di Jerantut Feri,Mokde Tik Di Johor, Mak Encik atau lebih dikenali dengan panggilan Makchu Zarah di Teluk Melati dan Mak Ngah,kesemua adik beradik mereka pernah aku temui kecuali Mokde Tik yang beradi di Johor.Bagi mereka yang selalu berkunjung ke Pekan Sehari Chenor sekitar 80an hingga awal 2000, pasti mengenali Makchu Zarah penjual kuih karas,putu beras dan putu pulut.
Kuih Karas


Ayahchik atau makcik jika membeli pakaian untuk anak-anak mereka pasti juga akan membelikan untuk aku.Kehidupan keluarga Makcik dan Ayahchik waktu tidaklah sesusah kehidupan Ibu dan abah aku, kerana mereka menpunyai banyak kerbau peliharaan di kampung,mereka tidaklah semata-mata mengharapkan hasil kerja di ladang.
Basikal Cooper
Radio Sanyo

Ketika umur Zaham dalam lingkungan 6 tahun dan aku pula darjah satu, ayahchik telah membelikan beliau basikal cooper. Dengan basikalnya aku akan membawa beliau,kerana aku telah tahu membawa basikal kerana aku pernah belajar basikal tua ketika di kampung kepunyaan Ayah Long dan basikal Tokkiku.Zaham juga ada radio jenama Sanyo kalau tak silap aku,menggunakan bateri lampu,bateri tersebut akan dijemur apabila kekuatanya mulai menurun, mereka juga ada Peti Televesyen yang menggunakan bateri kerana tiada lagi bekalan letrik. Seingat aku, rumahku ada Televesyen ketika usiaku 11 Tahun.

Bersambung PERNGORBANAN ABAH.
Al-Fatihah untuk Ibuku Ramlah Bt Hassa, serta semua bapa dan ibu saudaraku yang telah meninggal dunia.

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 4 )

AKU MAKIN RAPAT DENGAN ABAH.

Setelah peristiwa pokok sawit layu dan mati, hubungan aku dengan abah agak rapat,pokok sawit tersebut terletak di dalam ladang yang berhampiran dengan sebuah kolam yang di kenali sebagai “ KOLAM ENCIK SHUKOR”,menurut abah,kolam itu mendapat nama kerana dikawasan tersebut Pengurus rancangan Felda bernama Encik Shukor terjatuh motor, lekat sampai ke hari ini ( aku tak pasti kolam tersebut ada lagi atau tidak )

Minatku bermain bolasepak memang tidak dinafikan, setiap petang setelah balik dari ladang atau waktu kelapangan aku akan bermain bola bersama rakan-rakan sebayaku antaranya, Kamil,Mat Karim,Hambali,J Kamarulhatta, kami bermain dihalaman rumah Pak Ali,iatu ayah kepada Kamarulhatta atau aku panggi Ta sahaja. Halaman rumahnya agak luas,tambahan ada dua batang pokok ciku yang kami jadikan tiang gol, sehinggakan tumbesaran pokok ciku tersebut terbantut, apabila Pak Ali mendirikan kedai runcit di halaman rumahnya, kami bermain di halaman rumah Pakcik BJ iatu ayah kepada Kamil atau nama sebenarnya Musa.

Kemudian tempat permainan kami beralih ke Taman selesa iatu taman awam yang disediakan untuk penduduk disitu, sebenarnya di taman tersebut ada beberapa Gelanggang seperti Sepaktakraw dan Bolatampar, lama kemudian Gelanggang gasing pangkah tradisi juga dibina disitu, seperti biasa kami bermain agak awal iatu sekitar 4 petang kerana lebih kurang 5 lebih kami suka menyaksikan orang yang lebih dewasa bermain sepaktakraw, Antara nama yang hebat yang bermain sepaktakraw disitu ialah Pak Sahak,Wak Banduri, Hassan Takraw, Nayan,Ed Gebang ,Mat Zin dan bekas pemain kebangsaan, Iskandar Arshad juga pernah bermain di gelanggang tersebut, dia memang hebat.Ku lihat walaupun mereka bermain petang-petang, tetapi kesungguhan jelas ditunjukan oleh mereka, tidak hairanlah jika mereka menjadi Johan setiap pertandingan terutama Antara Felda.

Semasa di darjah lima aku mula dapat mewakili sekolah dalam sukan bolasepak dan sepaktakraw, disamping itu aku aktif dalam pengakap.Mungkin kerana kehidupan aku yang agak berdirikari mejadikan aku begitu minat dalam perkhemahan,di situ aku mengenali ramai kawan dari sekolah dan daerah lain,aku juga telah dilantik menjadi ketua darjah, pelajaran aku semakin maju, aku antara murid yang cemerlang dalam pelajaran dan sukan,

Aku memakai serba hitam
Pada satu hari aku memberitahu abah yang aku dapat hadiah sempena majlis PIBG sekolah, abah angguk je,kemudian mangatakan yang dia ke ladang, aku kecewa, pasti dia tak dapat datang ,semasa majlis penyampaian hadiah ku lihat tiada kelibat dia…… aku kecewa walaupun aku mendapat tepukan gemuruh dari hadirin, tetapi semasa pementasan drama ku perhatiakn dia ada di pintu bahagian belakang sekali, terus aku bersemangat untuk melontar dialog-dialog dalam lakunan pentas. Perghhhh abah datang.

Semasa Perkhemahan Peeingkat Zon

Sukan bolasepak antara sekolah telah bermula, perlawanan diadakan setiap petang selama seminggu, sekolah aku menjadi juara zon, seterusnya ke peringkat seterusnya. Aku dan rakan-rakanku giat berlatih, tapi biasanya aku akan ke padang setelah habis kerja-kerja membantu abah di ladang. “ Ni, masuk peringkat mana pulak” Tanya abah padaku ketika kami berehat setelah menabur baja di ladang. “ Peringkat Zon Pulak, lawan Zon lain, kalau menang pergi ke daerah” jelasku. “ masa main tu, main sungguh-sungguh, jangan main-main” tambah abah.” Dua minggu lagi baru lawan zon” kataku pada pada abah, kemudian abah terus bercerita dan bercerita,kisah-kisahnya.

“ Jom naik motor ni..kita balik” panggil abah ketika aku bermain bersama rakanku dipadang sekolah, waktu itu tiada latihan. Aku jadi pelik kerana tak pernah-pernah abah datang menjemputku waktu petang atau waktu balik sekolah, biasa abah akan menghantar dan mengambil adik perempuanku je kat sekolah, aku pergi dan balik hanya berjalan kaki.Aku turutkan sahaja, Bila aku naik memboncengnya ku lihat ada topi keledar dalam raga motornya, aku agak, mesti abah baru balik dari luar rancangan ni.  ” Pergi pinjam topi abang zainal” arah abah padaku, Abang Zainal adalah suami Kak Ani, Jiran sebelah rumah kami, tanpa banyak soal aku turutkan aje perintah abah.

“Kita nak kemana ni?” tanyaku pada abah dengan nada yang agak pelik, maklumlah tak pernah lagi aku membonceng motosikal dengan abah bertopi keledar, abah diam je, dan mengarahkan aku memakai topi dan meneruskan perjalanan, agak jauh dan lama juga aku menaiki motosikal dengan jalan yang bengkang bengkok, melalui jambatan, segala label ditepi jalan aku baca, setiba sampai di simpang Sungai Tekam, abah membelok, kemudian kulihat ramai orang berhimpun di tepi padang, ada perlawanan bolasepak bisik hati kecilku.

“ Hari ini kita tengok perlawanan bolasepak persahabatan, Kelab Sultan Sulaiman lawan dengan Tekam United” jelas abah ketika kami hampir ke tepi padang, oleh kerana orang terlalu ramai, aku berjaya mendapat tempat dipenjuru belakang sebelah hujung padang “ Kenal tak siapa tu?” Tanya abah kepada ku sambil menunjukan jari telunjuk kearah seorang lelaki bertubuh sasa, labu betis dia kemain besar, pehanya kental dan berotot, nampak urat, bermisai dan berambut agak panjang. Aku mencebek mulut tanda tak kenal, walaupun aku rasa macam pernah tengok “ Tu lah Mokhtar Dahari pemain bolasepak negara yang terhebat, yang besar kat tengah tu Santokh Singh, yang putih tu Soh Chin Aun, yang hitam tu bukan india tapi Khalid Ali “ Jelas abah kepada ku.Aku perhatikan sahaja, masa permainan berlangsung aku tak henti-henti memerhatikan nama-nama yang disebut abah,,wahhhh memang hebatlah, dalam pada itu aku perhatikan juga pasukan lawan mereka, ye aku kenal.. “ itu Pakcik Bahari yang rumah kat sekolah kan?.yang tu pegawai felda kan” tanyaku pada abah.Abah tersenyum dan mengangguk kepala.
Mokhtar Dahari Pemain Bolasepak Hebat Sepanjang Zaman.
Sebenarnya aku tak tahu mana yang menang dan kalah yang aku pasti palang gol patah apabila bola tendangan Santokh Singh terkena palang tersebut.
Kemudian aku balik dengan abah, kemudian singgah di kedai aku pun tak ingat kat mana, kami minum air bersama, itulah detik-detik yang mengembirakan aku.Hubungan aku dengan abah semakin erat dan rapat, kebanyakan masalah mengenai blok abah ceriatakan padaku, ada juga sesekali dia bertanya pendapatku, walaupun aku hanya berumur 11 tahun.

Abah tidak pernah melarang untuk aku bermain bolasepak, akhirnya pasukan sekolahku berjaya ke akhir peringkat daerah, tapi kami kalah kerana lawan berbadan besar,seolah seperti lebih umur, Sekolah Kebangsaan Chebong.. ye aku ingat nama sekolah tersebut. Aku dapat mewakili daerah bersama dengan dua orang lagi rakanku, kami mewakili daerah dan bermain di Kuala Lipis, pasukan daerah yang aku wakili mara ke final tapi tewas kepada Daerah Pekan.Akhirnya aku dapat menyertai pemilihan untuk mewakili negeri, tetapi aku tolak sebabnya aku tak mahu tinggalkan abah keseorangan ke ladang. Latihan untuk mewakili negeri tu selama dua bulan, jadi aku putuskan yang aku tak mahu pergi, abah ada juga menggesa untuk aku pergi, aku kata aku tak mahu dia sorang-sorang dalam ladang,kemudian dia memelukku, kali pertama aku dipeluk orang orang yang ku panggil abah.


Bersambung …. AKU DAN SEPUPU SERTA MAKCIK,PAKCIK.
Al- Fatihah Untuk Abah Yunos B.Hj.Md Alim, Abang Zainal Abidin ( Jiranku) Mokhtar Dahari.

Sabtu, 9 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 3 )

ABAH KETUA BLOK YANG HEBAT.

Tugasan Abah di ladang biasanya siap untuk pusingan pertama dalam 6 atau 7 Haribulan untuk pusingan pertama, kemudian dalam pusingan kedua tugasannya siap dalam linkungan 20hb atau selewatnya 22hb. Bermakna abah bekerja di ladang untuk memotong buah sawit dalam lingkungan 10 ke 12 hari dalam sebulan, kata abah, dia tak mampu nak buat cepat-cepat kerana tenaganya tidak segagah berbanding dengan peneroka yang lain.

Bila usiaku meningkat 11 tahun, abah sedikit berubah padaku, sering kali aku dijadikan teman berbualnya, walaupun dalam banyak perkara dan cerita dia yang lebih banyak berkata, dan aku hanya menjadi pendengar yang setia.Adik-adikku makin besar tapi abah tak membenarkan mereka ke ladang, mungkin tak mahu anak-anaknya kepenatan, aku akur je, sikit pun tak pernah irihati.
Walaupun tidak memotong buah sawit tapi abah akan tetap ke ladang,untuk memotong anak-anak kayu atau membaja, dan aku adalah peneman setianya.Kadang-kadang abah membenarkan aku membawa motosikalnya untuk pulang kerumah mengambil bekal yang disediakan oleh ibuku, aku faham, abah tidak mahu aku menunggang motosikal tak tentu haluan, meronda seperti rakan-rakanku yang lain, aku makin faham kaedah abah mendidikku sebagai anak tirinya.

Abah mendapat gelaran “ Tok Penghulu” di tempat tanah rancanganku, menurutnya gelarannya itu melekat pada dirinya apabila beliau menyertai lakonan pentas bangsawan anjuran Felda melalui Badan Kebudayaan Felda, Antara artis dan pelakun bangsawan hebat waktu itu ialah Zami Mohd Nor, Mak Minah Ketot dan ramai lagi yang aku lupa, kalau tak silap aku, Dato M.Daud Kilau, Maria Bachok pun ada. Dalam Drama tersebut abah memegang watak sebagai Tok Penghulu dalam pementasan Hikayat Malim Deman, seingat aku dalam satu babak, abah kena ikat kat pokok keladi yang besar, aku tak faham sangat cerita tu, maklumlah bebudak lagi.Semua Abah cerita dengan aku.Dalam banyak-banyak cerita rekaannya aku, paling suka kisah Awang Mata Rabun.

Abah berperanan sebagai ketua blok, sentiasa meronda ladang, jika ada buah yang tertinggal di kawasan blok seliaanya, akulah yang ditugaskan untuk mencatit kawasan siapa, dan sebelah petangnya abah akan kerumah ahli blok tersebut dan ceritakan perihal buah yang tertinggal atau ladang yang agak semak,aku sentiasa akan diajak bersama.Jika tiada tindakan dari ahli blok, abah akan memanggil orang lain untuk memotong sawit tersebut dan tuannya akan didenda melalui potongan payslip.
Gambar ini sekadar hiasan
“ Ini pokok aku, kenapa awak amik buahnya” kata Pak Ayob pada Pak Ishak, aku hanya mendengar sahaja pertengkaran mereka dari atas motor “ Dahlah jangan bergaduh” kata abah dengan tenang. Tapi Pak Ayob dan Pak Ishak terus berdegil sambil masing-masing membuka langkah silat “ Tok Penghulu jangan campur… biar den selesai kan cara jantan” kata Pak Ishak, Kemuadian mereka bertumbuk,bersepak terajang, aku perhatikan sahaja dengan penuh minat “ Sudah!!!!!!!!! Jangan berkelahi” jerit abah sambil menepuk batang sawit yang menjadi pertikaian antara mereka, jeritan abah yang bergema sambil menepuk batang sawit itu membuat mereka terhenti, “ Ingat!!!! Dalam masa 5 hari kalau pokok sawit ni tak mati, jangan panggil aku Penghulu” cabar abah kepada mereka, kulihat keduanya terdiam dan tertunduk, kemudian abah ke motor dan berkata “ amie!!! Bawak motor, kita balik”.

Sampai dirumah kulihat tangan abah dah bengkak, bila ibu tanya,abah diamkan sahaja, bila ibu tanya kepada ku, aku hanya gelengkan kepala sambil mengangkat bahu,tanda tak tahu. Semasa ibu ke dapur,abah memanggil aku “ Amie..nampak tak pokok yang abah tampar tadi?” “ Nampak” jawabku pendek.” Mulai petang ni, amie pergi keladang dan ke pokok tu, dan siram dengan racun yang dalam reban tu” “ tiap petang ke?” tanyaku.. “ Ye setiap petang sampai pokok tu layu”.

Setiap petang aku dapat menungang motosikal Honda cup C70 MJ 2129,wahh!!! Girangnya aku, saja aku ikut jalan jauh nak ke ladang. Bila masuk hari yang ketiga, pokok tersebut suda layu, daunnya menjadi kekuningan.” Abah ada?” Tanya Pak Ishak yang datang kerumahku, aku angguk kepala,dan terus memanggil abah yang baring dibilik sambil ditemani adik-adikku yang mencabut uban abah. “ Haa kenapa Sahak?” Tanya abah dan aku pun berlalu idak mendengar perbualan mereka, tak lama kemudian Pak Yaob pulak dating, mereka bersembang dengan penuh kemesraan apabila aku perhatikan dari jauh.


“ Ayob dengan Sahak datang petang tadi tu,sebab apa?” Tanya ibuku pada sebelah malamnya,aku hanya dengar dari dapur je perbualan mereka “ datang nak minta maaf” jawab abah.. ibu tidak pula bertanya kerana apa meminta maaf. Malam tu sebelum tidur abah bertanya tentang persekolahanku, pertama kali beliau berbuat demekian………….

Bersambung …… AKU MAKIN RAPAT DENGAN ABAH.
#Al-Fatihah untuk Abah, Pakcik Ayob Ibrahim dan Pakcik Ishak Ismail

Jumaat, 8 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 2 )

ABAH? Aku anak tirinya.

Beliau berkahwin dengan ibuku setelah aku berusia dalam lingkugan 4 atau 5 tahun, beliau berasal dari Kg Kuala Paya, Segamat Johor, ketika berkahwin dengan ibuku beliau masih bujang dan tidak pernah berkahwin sebelumnya. Kemudian menyertai tanah rancangan Felda dan aku pun dibawa sekali tinggal bersamanya.

Menurutnya kepadaku, ketika memasuki tanah rancangan Felda, beliau Antara orang yang paling berusia, rata-rata usia peneroka di waktu itu dalam lingkungan awal 20an.Oleh kerana usia dan mungkin juga dia seorang yang peramah, apabila bermula sistem blok beliau dilantik menjadi ketua blok.

Dalam usiaku masih muda, aku telah diajak ke ladang sawit untuk membantu kerja-kerja diladang dan menjadi pembantu tetap kepadanya, hubungan aku dengan abah seawal itu tidak berapa rapat, mungkin kerana sikapnya yang seperti acuh tidak acuh atau aku yang masih berdendam kerana terpaksa menjaga adik atau juga dendam aku tak dapat upah seperti rakan-rakan yang lain.


Apabila usia ku meningkat 10 tahun, adik beradikku makin bertambah, aku seperti terus dipinggirkan oleh abah, makan dan pakai biasa-biasa je tiada yang istimewa, tetap makan setelah semuanya makan dan pakaianku jarang berganti, adalah sesekali tu abah mengambil baju secara hutang di Kantin Felda.Kantin Felda atau PNF yang bermakna Perbadanan Niaga Felda yang terdapat disetiap rancangan Felda. Masyarakat tempat menyebutnya “ KANTIN”

Ketika dalam lingkungan 10 tahun aku lebih rapat dengan sepupuku Atan lantaran aku sering ditinggalkan oleh abah dan ibu kerana mereka kerap balik kampong abah di Segamat Johor, aku dan Atan lebih kurang sebaya, Rumah Makcikku ( ibu Atan ) ada radio, dengan atan aku selalu mendengar radio dan memasang “kaset” penyanyi tempatan pada waktu itu, kami sering meniru cara deejay radio, mungkin itu juga yang mendorong minat aku dalam dunia penyiaran.
Aku dan abah seperti biasa, sepatah ditanya sepatah juga aku menjawab, setiap yang disuruhnya aku lakukan tanpa bantahan, Abah sudah membeli motosikal, teringin benar untuk aku menaiki tapi apakan daya “ Nanti rosak” kata abah, aku diamkan sahaja. Jadilah aku pembonceng setianya ketika ke ladang.Bukan setakat membonceng sahaja tetapi terpaksa mengheret sama kereta tolak, lenguh tanganku, tapi tak berani nak bersuara.




Dalam masa yang sama aku tetap belajar menunggang motor bersama Atan tanpa pengetahuan ibu dan abah, hehehehehe.. hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.Hinggalah suatu hari seorang jiranku , ku panggil ,dia ku panggil Makcik Yah, beliau isteri kepada Pakcik Mail “ amie tahu ke menunggang moto” Tanya beliau, dengan nada yakin aku menjawab “ boleh je”, “ kalau boleh,minta tolong amikkan pakcik mail di felcra, dah lewat ni, dia tak balik lagi, mungkin traktor rosak” jelasnya Mak Cik Yah kepadaku.

Dengan keyakinan yang tinggi aku pun menunggang motosikal, jalan waktu tidak begitu baik, hanya jalan berbatu,jalan hanya elok setelah melewati kawasan kilang sawit, jarak antara tempatku ke felcra lebih kurang 4km.Dalam hatiku ketika menunggang motosikal tersebut hanya tuhan sahaja yang tahu betapa girang dan gembiranya.Itulah kali pertama aku membawa motosikal sejauh itu.
Kisah aku membawa motosikal diketahui oleh ibu,seperti biasalah ibu hanya berpesan, hati-hati jika menolong orang kerana kemampuan terhad, Abah pula tak kata apa-apa, senyap je, kerana waktu itu ada orang datang nak berguntiing rambut…Fuhhhh!!!!! Selamat aku
.



Tetiba abah memanggil aku, “ pergi kedai belikan pisau gilette” aku pun mengambil duit dalam bekas gunting dan terus berlari ke kedai. Jarak kekedai dalam 1km “ kenapa tak bawak motor” Tanya abahku bila aku balik termengah-mengah dengan membawa pisau dan meletakkan dalam bekas gunting. “ tak apalah” jawabku sambil terus pergi rumah hadapan berseberang jalan, Rumah pakcik BJ, anak-anak mereka adalah kawan-kawan sepermainanku,

Bersambung…… KISAH ABAH KETUA BLOK YANG HEBAT.

Rabu, 6 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 1 )

Seringkali menangis teresak-esak kesorangan bila memikir nasib diri, apa boleh buat hidup menumpang ehsan orang “ kita ni menumpang buat cara menumpang” begitulah pesan Nenek pada suatu hari ketika dia belum lagi terlantar sakit yang agak lama.
Sejak dari kecil memang aku sudah tahu berdirikari, bermula dari seawall umur 5 tahun aku sudah tahu mencari ikan di sawah atau lopak-lopak air, hidup bersama Tokki dan Tuk ( Nenek ) mengajar aku erti dan memahami keperihan dan kepayahan. Akhirnya aku diambil oleh ibu untuk tinggal bersamanya di penempatan Peneroka Felda, Ibu berkahwin lain, aku juga tidak pernah mengenali ayah kandungku.Wajahnya tidak pernah aku tatap, suaranya tidak pernah aku dengar.Aku juga mempunyai seorang adik prempuan yang dipelihara oleh datuk saudara.

Bermulalah kisah hidupku di Rancangan Felda, Aku bersama ibu, suami ibu yang ku panggil abah dan adik perempuan seibu yang masih bayi, aku sentiasa diarah oleh ibu untuk menjaga adikku itu, walaupun dalam usia sebayaku apa yang aku tahu untuk menjaga seorang adik, tetapi demi menurut kata ibu dan menjaga hati abah aku lakukan juga.

Biasanya aku akan dapat menikmati makanan selepasnya semuanya selesai makan, aku tak kisah kerana bagiku itulah upah yang ku perolehi setelah menjaga adik ketika ibu membuat kerja-kerja dapur.Abah setiap pagi akan ke ladang sawit bersama dengan rakan-rakan penerokanya, pada sebelah petang dia akan mengambil upah mengunting rambut dikalangan peneroka, itulah adalah kemahirannya dan punca rezeki tambahan,biasanya akulah yang akan disuruh untuk ke kedai membeli pisau cukur.

Di Tanah Rancangan Felda aku mengenali rakan-rakan sebaya yang berada di kejiranan rumahku, setelah memasuki alam sekolah tadika, aku mula mengenali rakan-rakan dari kawasan lain yang agak jauh dari rumahku.Segala persiapan untuk ke sekolah aku lakukan sendiri, tiada bantuan dari ibu semuanya kulakukan sendiri, membasuh pakaian harian kesekolah, jika ada bajuku yang koyak aku jahit sendiri.Memasuki darjah satu aku pergi kesekolah sendirian, pendaftaranku ke sekolah dibantu oleh anak jiranku yang lebih dewasa, dia darjah enam ketika aku memasuki alam sekolah rendah.
Aku adalah murid yang cerdas dan pintar disekolah, sentiasa mendapat perhatian guru, tapi bila di rumah ,rutinku adalah seperti biasa.Jaga adik, bila waktu petang aku ditugaskan untuk membakar sabut dan mengasapkan keliling rumah.Waktu itu tiada bekalan letrik, hanya menggunakan lampu minyak tanah dan beberapa tahun kemudian menggunakan lampu gasoline. 

Bila usiaku berganjak ke 9 tahun atau darjah tiga, tugasku makin bertambah, setiap kali cuti hujung minggu persekolahan aku akan diajak oleh abah untuk ke ladang bagi membantunya, biasanya mengutip buah yang relai dan dimasukan kedalam guni, sebenarnya rakan-rakan yang pun sama, mereka akan bercerita tentang upah yang mereka dapat dari ayah mereka, tapi aku………. Cukup sekadar dapat makan. “ Jangan nak mengada minta upah, tu dapat makan, kena bersyukur” kata ibuku setelah aku ceritakan perihal kawan-kawan. Dengan abah, jarang sekali aku berbual dan dia pun tidak bertanya khabar, mungkin kerana aku ni anak tiri, atau mungkin juga dia bertanya melalui ibu.

Buah sawit relai

Tahun berganti tahun, aku mendapat seorang adik lelaki, setahun kemudian seorang lagi, jadinya aku menpunyai 3 orang adik.Ketika aku berusia 10 tahun dan kehidupan kami makin berubah bertambah senang, ibu, abah dan 3 adik sering balik ke kampung abah di Segamat, Johor.Aku hanya tinggal dirumah dan waktu malamnya aku akan pergi kerumah mak saudara ( adik beradik ibu ) yang juga peneroka felda, jarak rumah lebih kurang 2 kilometer, aku berjalan kaki.Biasanya seminggu mereka akan berada di segamat, bila balik ku lihat adik-adikku mendapat barang permainan dan juga pakaian baru hadiah dari saudara mereka sebelah abah.Aku? hanya melihat sahaja, tapi sedikitpun aku tidak pernah rasa sedih atau terasa hati.

Disekolah aku seperti biasa, sedikitpun tidak rasa tergugat malah aku disenangi oleh rakan-rakan dan guru, cumanya apabila sekolah ingin mengadakan rombongan aku sedikit gusar, aku takut nak menyuarakan hasratku untuk bersama-sama rakan sekolah kepada ibu.Namun begitu aku tidak pula memberontak apabila ibu mengetahui dan melarangku untuk menyertai rombongan tersebut.
Apabila menolong abah ke ladang, kerjaku makin berat, aku tidak lagi mengutip buah sawit yang relai tetapi mengangkut tandan sawit dari kawasan pangkal pokok ke tempat pengumpulan berhampiran jalan dengan menggunakan kereta sorong 

Kereta Sorong.


.Abah begitu bersungguh kerja,kesian juga aku melihatnya walaupun dalam hati bergerutu bila mengenangkan aku tidak mendapat upah.Walaupun aku sentiasa menolong abah diladang, aktiviti aku bersama rakan-rakan sebaya dikejiranan tidak ku tinggalkan, aku tetap bermain bersama mereka jika ada kesempatan, aku tidak lagi diarah untuk menjaga adik, mungkin kerana aku lebih kerap membantu abah di ladang.
Abah? Walaupun aku kurang mesra dan rapat dengannya, tetapi dia tidak pernah memukul aku, itu yang aku “ respect” biasanya hanya bebelan dan ugutan tak mahu tanggung aku belajar.

BERSAMBUNG………………

Jumaat, 1 Disember 2017

CATATAN ANAK PENEROKA

Catatan ini adalah pandangan pribadi saya sebagai anak Peneroka Felda, pernah berkhidmat dalam Organisasi Felda.. apa yang saya nukilkan bukan untuk menyalahkan sesiapa.

Sebelum menyentuh pada Jatuhnya ERA Felda sekitar, saya cuba mengimbau kembali zaman susah yang HANYA kita sebagai anak peneroka yang faham penderitaan yang dialami oleh Peneroka.
Berpagian seawal pukul 6, peneroka telah bergegas bangun untuk ROLLCALL, setiap arahan dari Pengawai Rancangan mahupun pengurus, semuanya YES ENCIK, tiada bangkangan, kalau ada pun hanyalah cakap-cakap belakang.

Ramai yang hanya berjalan kaki ke ladang,amatlah kurang yang berbasikal apatah lagi bermotosikal. Tetapi kerana kesinambungan hidup,demi keluarga dan mengubah nasib, segalanya mereka hadamkan sahaja.

Cukup bulan mereka akan beratur di Kedai Felda untuk mendapatkan barangan keperluan dapur. Selain secara buruh bekerja di ladang, mereka juga diwajibkan untuk membersihkan kawasan sekitar, mencantikkan kawasan perumahan, ada masanya diberikan amaran kerana tidak menanam BUNGA RAYA dihadapan rumah.

Penerokawati diajar dan diasuh dengan sistem pembelajaran sains rumahtanggga.Penerokawati memainkan peranan meningkatkan pendapatan keluarga dengan bekerja diladang khususnya KAHWIN BUNGA.



Perubahan demi perubahan dilakukan untuk menaikan taraf hidup, selain mengerjakan ladang ada dikalangan peneroka yang bercucuk tanam, kebanyakan dari peneroka menpunyai anak yang masih kecil dan bersekolah rendah. Untuk membesar anak-anak itu menjadi cabaran bagi mereka, dengan pendapatan yang hanya cukup setakat makan keluarga.Mungkin Antara kita Gen2 yang pernah merasai SIRA buah Sawit, Kuih BINGKA sawit, Sawit Bakar..

Sistem ROLLCALL telah diubah kepada sistem blok dengan keanggotaan 20 peneroka satu blok, ,setiap pegawai ladang mengawasi Antara 4 hingga 5 blok.Dilantik ketua blok,bendahari dan setiausaha.Kebanyakan ketua blok dilantik berdasarkan karisma dan keupayaan yang dinilai oleh blok, ketua blok akan menganggotai JKKK dan dikalangan mereka akan melantik seorang sebagai Naib Pengerusi, dimana pengurus rancangan automatik sebagai pengerusi.
Dalam sistem blok, telah melonjakan pendapatan para peneroka kerana ianya adalah sistem kelompok yang terbaik, ahli blok yang culas akan didenda.

Sewaktu sistem ini dilaksanakan kebanyakan anak peneroka telah remaja, diwaktu hujung minggu akan membantu..( MAKSUDNYA KITA GEN2 JUA TERASA PENDERITAAN DAN KEPERITAN,KITA LAYAK MENYUARAKAN APA YANG KITA RASA TIDAK BETUL). 
Sekitar tahun 1986 – 1987 harga sawit jatuh menjunam walaupun buah sawit begitu memuncak, setiap bulan ,peneroka memperolehi Antara 25 tan hingga 35 tan tetapi harga waktu sekitar RM 25 hingga RM 35 satu tan, Kilang tidak mampu untuk memproses buah yang sebanyak itu dan hanya dibakar.Kecelaruan pendapatan yang mengrinsakan menjadikan peneroka benar-benar tertekan, mentelah lagi dengan kos perbelanjaan pelajaran anak-anak yang semakin meningkat kerana memasuki sekolah menengah dan belajar di IPTA, ada jua kalangan Gen2 terutama yang sulong terpaksa mengorbankan diri dalam pelajaran demi kesinambungan adik-adik untuk terus belajar. Maka bertaburlah peneroka membuat kerja luar dari tanah rancangan. Ada yang bekerja sebagai “JAGA” tidakpun driver lori ataupun mengambil upah menorah getah di kawasan kampong.. PERIT!!!!!!!

Lama kelamaan keadaan semakin pulih, dengan tindakan bijak oleh pihak pengurusan Felda ketika itu yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk membantu peneroka dan masyarakat di tanah rancangan, diberikan bantuan untuk peneroka menerokai industri hiliran, ataupun setidaknya peneroka berada dekat dengan ahli keluarga.Hebatnya pengurusan mengatur dan melaksanakan sistem sehinggakan dalam krisis ekonomi terhebat yang melanda negara sekitar 1996 hingga 1998 masyarakat peneroka Felda langsung tidak terkesan, malah dalam PIlihanraya umum 1999 masyarakt penerokalah yang menjadi penentu kemenangan parti kerajaan.Masyarakat peneroka bukan pertualang atau disebut bangsat, mereka tahu erti maksud terima kasih.
Bersambung……………….

AKU RINDU PILIHANRAYA UMUM

Dah Dekat sangat ni.. Ye Pilihanraya Umum ke-14 makin tiba ke detiknya… Jarang sebenarnya nak mencoretkan perihal politik kat dalam blog ni.. Tetapi disebabkan dah dekat tulis je lah. Sekadar mencatatkan pengalaman yang dikutip dari perkara lepas.
“ Bagaimana pandangan Dato dengan hasrat Nurul Izah untuk mencabar Dato di kawasan Dato?” masih tergiang dan aku ingati soalan tu… “ Biarlah… Negara kita demokrasi sesiapapun boleh bertanding “ itu jawapan dari Ketua Wanita tersebut.. “ Tidakkah Dato rasa tercabar” soalan bertalu datang..biasalah bila kita kerja bidang wartawan ni..soalan jenis “feeder”  kena pandai…” Dia budak mentah lagi, apa dia tahu tentang politik, perjuangan dia pun bukan membela rakyat sekadar membela ayahnya..rakyat tidak akan terpedaya”.. dan panjang lagilah yang diterangkannya, semua menjurus kepada keyakinan… maka aku buatlah sebuah tajuk “ NURUL IZAH BUDAK MENTAH” aku tahu..artikel aku tak lepas..hahahaha.. dan akhirnya selepas PRU..Nurul Izah menang dan Ketua Wanita tersebut menangis tersendu sendan…



Hanya Secebis kisah dari cara pemikiran mereka yang agak lama berkecimpung dalam sepak terajang politik, kekadang keyakinan yang ditunjukkan itu melampaui kerana ANGGAPAN. Mereka telah dilayukan oleh kumpulan kerja yang hanya membodek segala bantuan dan kerja yang dilakukan oleh ketua tidak sampai ke sasaran atau sering dilaungkan oleh pemimpin besar AKAR UMBI..ye!!! tidak menyentuh ke akar.. apatah lagi ke umbi.

Sekarang ini sibuk pula meminta di angkat cerita kejayaan atau disebut “ success story”.. secara teorinya bagus, tapi bila dipraktik secara keterlaluan ianya lebih kepada MENGUNGKIT.. seumpama seorang guru berbangga dengan kejayaan anak didiknya tetapi mereka tidaklah pula melaungkan bahawa anak didiknya Berjaya kerana dia…

Apa-apa pun aku hanya pemerhati.. bila ada yang datang meminta pandangan..maka aku pun akan memberikan pandangan dan pendapat dari sudut aku… itu je…

BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi. Jadi Kenangan kerana usaha sendiri. Bukan senang untuk capai impia...