Rabu, 6 Disember 2017

KISAH AKU ANAK PENEROKA ( SIRI 1 )

Seringkali menangis teresak-esak kesorangan bila memikir nasib diri, apa boleh buat hidup menumpang ehsan orang “ kita ni menumpang buat cara menumpang” begitulah pesan Nenek pada suatu hari ketika dia belum lagi terlantar sakit yang agak lama.
Sejak dari kecil memang aku sudah tahu berdirikari, bermula dari seawall umur 5 tahun aku sudah tahu mencari ikan di sawah atau lopak-lopak air, hidup bersama Tokki dan Tuk ( Nenek ) mengajar aku erti dan memahami keperihan dan kepayahan. Akhirnya aku diambil oleh ibu untuk tinggal bersamanya di penempatan Peneroka Felda, Ibu berkahwin lain, aku juga tidak pernah mengenali ayah kandungku.Wajahnya tidak pernah aku tatap, suaranya tidak pernah aku dengar.Aku juga mempunyai seorang adik prempuan yang dipelihara oleh datuk saudara.

Bermulalah kisah hidupku di Rancangan Felda, Aku bersama ibu, suami ibu yang ku panggil abah dan adik perempuan seibu yang masih bayi, aku sentiasa diarah oleh ibu untuk menjaga adikku itu, walaupun dalam usia sebayaku apa yang aku tahu untuk menjaga seorang adik, tetapi demi menurut kata ibu dan menjaga hati abah aku lakukan juga.

Biasanya aku akan dapat menikmati makanan selepasnya semuanya selesai makan, aku tak kisah kerana bagiku itulah upah yang ku perolehi setelah menjaga adik ketika ibu membuat kerja-kerja dapur.Abah setiap pagi akan ke ladang sawit bersama dengan rakan-rakan penerokanya, pada sebelah petang dia akan mengambil upah mengunting rambut dikalangan peneroka, itulah adalah kemahirannya dan punca rezeki tambahan,biasanya akulah yang akan disuruh untuk ke kedai membeli pisau cukur.

Di Tanah Rancangan Felda aku mengenali rakan-rakan sebaya yang berada di kejiranan rumahku, setelah memasuki alam sekolah tadika, aku mula mengenali rakan-rakan dari kawasan lain yang agak jauh dari rumahku.Segala persiapan untuk ke sekolah aku lakukan sendiri, tiada bantuan dari ibu semuanya kulakukan sendiri, membasuh pakaian harian kesekolah, jika ada bajuku yang koyak aku jahit sendiri.Memasuki darjah satu aku pergi kesekolah sendirian, pendaftaranku ke sekolah dibantu oleh anak jiranku yang lebih dewasa, dia darjah enam ketika aku memasuki alam sekolah rendah.
Aku adalah murid yang cerdas dan pintar disekolah, sentiasa mendapat perhatian guru, tapi bila di rumah ,rutinku adalah seperti biasa.Jaga adik, bila waktu petang aku ditugaskan untuk membakar sabut dan mengasapkan keliling rumah.Waktu itu tiada bekalan letrik, hanya menggunakan lampu minyak tanah dan beberapa tahun kemudian menggunakan lampu gasoline. 

Bila usiaku berganjak ke 9 tahun atau darjah tiga, tugasku makin bertambah, setiap kali cuti hujung minggu persekolahan aku akan diajak oleh abah untuk ke ladang bagi membantunya, biasanya mengutip buah yang relai dan dimasukan kedalam guni, sebenarnya rakan-rakan yang pun sama, mereka akan bercerita tentang upah yang mereka dapat dari ayah mereka, tapi aku………. Cukup sekadar dapat makan. “ Jangan nak mengada minta upah, tu dapat makan, kena bersyukur” kata ibuku setelah aku ceritakan perihal kawan-kawan. Dengan abah, jarang sekali aku berbual dan dia pun tidak bertanya khabar, mungkin kerana aku ni anak tiri, atau mungkin juga dia bertanya melalui ibu.

Buah sawit relai

Tahun berganti tahun, aku mendapat seorang adik lelaki, setahun kemudian seorang lagi, jadinya aku menpunyai 3 orang adik.Ketika aku berusia 10 tahun dan kehidupan kami makin berubah bertambah senang, ibu, abah dan 3 adik sering balik ke kampung abah di Segamat, Johor.Aku hanya tinggal dirumah dan waktu malamnya aku akan pergi kerumah mak saudara ( adik beradik ibu ) yang juga peneroka felda, jarak rumah lebih kurang 2 kilometer, aku berjalan kaki.Biasanya seminggu mereka akan berada di segamat, bila balik ku lihat adik-adikku mendapat barang permainan dan juga pakaian baru hadiah dari saudara mereka sebelah abah.Aku? hanya melihat sahaja, tapi sedikitpun aku tidak pernah rasa sedih atau terasa hati.

Disekolah aku seperti biasa, sedikitpun tidak rasa tergugat malah aku disenangi oleh rakan-rakan dan guru, cumanya apabila sekolah ingin mengadakan rombongan aku sedikit gusar, aku takut nak menyuarakan hasratku untuk bersama-sama rakan sekolah kepada ibu.Namun begitu aku tidak pula memberontak apabila ibu mengetahui dan melarangku untuk menyertai rombongan tersebut.
Apabila menolong abah ke ladang, kerjaku makin berat, aku tidak lagi mengutip buah sawit yang relai tetapi mengangkut tandan sawit dari kawasan pangkal pokok ke tempat pengumpulan berhampiran jalan dengan menggunakan kereta sorong 

Kereta Sorong.


.Abah begitu bersungguh kerja,kesian juga aku melihatnya walaupun dalam hati bergerutu bila mengenangkan aku tidak mendapat upah.Walaupun aku sentiasa menolong abah diladang, aktiviti aku bersama rakan-rakan sebaya dikejiranan tidak ku tinggalkan, aku tetap bermain bersama mereka jika ada kesempatan, aku tidak lagi diarah untuk menjaga adik, mungkin kerana aku lebih kerap membantu abah di ladang.
Abah? Walaupun aku kurang mesra dan rapat dengannya, tetapi dia tidak pernah memukul aku, itu yang aku “ respect” biasanya hanya bebelan dan ugutan tak mahu tanggung aku belajar.

BERSAMBUNG………………

Tiada ulasan:

BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi. Jadi Kenangan kerana usaha sendiri. Bukan senang untuk capai impia...