Isnin, 29 Mei 2023

BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi.

Jadi Kenangan kerana usaha sendiri.

Bukan senang untuk capai impian kerana perlaksanaan kearah itu memerlukan kejituan mental dan fizikal.

Anak! kau memang layak mendapatkannya kerana dari kecil kau sentiasa berjuang sendirian. 
Sejak kecil sentiasa membimbit buku kartun dan alat mainan " bulldozer" itu memang minat dirimu selain berkayuh basikal sekeliling kampung, zaman kanak² mu, orang kampung memang mengenali kercedasan fikiran walaupun agak malu² untuk bertutur.

Mengelek cd² hindustan dan power rangers dan memasang di player vcd adalah rutin biasa, lagu hindi apa yang kau tak hafal?, semua lagu film Kuch Kuch Hota Hai sentiasa meniti dibibir, ditambah dengan Mann, Hello Brothers Dil Hil Tumhaara dan byk lagi. Siap dengan terjemahan.

Nenek kamu pernah berkata, " Budak ni bijak klu tengok pada matanya", ye memang bijak, diharapkan akan terus bijaksana dalam haluan hidup.

Cabaran akan datang lebih besar dalam dunia nyata ini, semoga kau sentiasa akan berjaya dan dirahmati dalam perlayaran usiamu, itulah titipan doa seorang ayah.

Rabu, 23 Jun 2021

TOK SUJI BILANG.

SUJI BILANG @SUJUD BILANG  (     -1724)
Suji Bilang merupakan nama yang pertama dapat dikesan sehingga ini adalah asal pertama penduduk kampung Berhala Gantang dan kawasan persekitaran yang ada hubungan dengan beliau. Anak cucu kepada seorang bangsawan yang alim lagi ternama Sutan Abu Bakar. Perlu Dijelaskan bahawa Suji Bilang tidak datang terus dari Minangkabau sebaliknya telah berada di Pahang mengikut ayahndanya yang telah menetap di Cenor. 

Suji Bilang bukanlah nama sebenar beliau,sebaliknya nama ini diberikan oleh Datuk Saridun  salah seorang pembesar Orang Asli yang ada di Temerloh ketika itu. Ini kerana kegagahan Tuk Suji Bilang dapat mengalahkan sebilangan Orang Asli yang mencabar beliau untuk mengadu tenaga. Suji bermakna "Tabung bekas racun sumpitan" dan "Bilang" bereri banyak. Walaupun beratus¬ ratus suji digunakan untuk menyumpit Tuk Suji Bilang tetapi sedikitpun tidak menjejaskan kulit beliau,yang dengan kuasa Allah tidak lut. 

Kisah ini berlaku apabila Tuk Suji Silang mengajak Orang¬orang Asli memeluk Islam tetapi mereka menolak . Akhirnya Tuk Suji Bilang mencabar mereka untuk beradu tenaga. Cabaran itu di sambut oleh Orang Asli yang terdapat di Kuala Semantan ketika itu dengan syarat jika mereka kalah,mereka akan memeluk agama Islam, Jika Tuk Suji Bilang yang kalah,maka beliau akan menjadi hamba mereka seumur hidup .  Beliau datang ke Kuala Semantan pada masa itu seorang diri dengan menaiki perahu cawat,kedatangan beliau telah di dengari oleh Batin Saridun yang bersemayang berhampiran dengan Gunong Senyum, Apabila diketahui Tuk Suji Bilang telah sampai ke Kuala Semantan,Batin Saridun menghantar sebilangan kecil pengikutnya untuk menghalang Tuk Suji Bilang masuk kekawasannya. 

Maka bertemulah askar Tuk Batin Saridun dengan Tuk Suji Bilang di Kuala Semantan dan berlakulah pertengkaran kecil. Tuk Suji BIlang dengan cara berlembut memohon agar beliau dibenarkan membuat penempatan di Kuala Semantan dan berdakwah kepada sesiapa yang ingin memelok Islam. Permohonan beliau ditolak bulat-bulat oleh askar Batin Saridun, maka keadaan semakin tegang dan akhirnya berlaku kekasaran dan pergaduhan.Di dalam perlawanan itu Tuk Suji Bilang telah menunjjukkan kehandalan beliau, ini kerana beliau merupakan anak murid dari senteri  pondok perguruan di Jawa yang kebanyakanya daripada anak-anak murid Wali Sembilan (Wali Songgo) yang terkenal itu. Pelajar-pelajar senteri bukan sahaja mahir di dalam bidang agama malah mereka juga mahir di dalam bidang persilatan dan perubatan(bomoh).Bilangan askar Batin Saridun yang kecil itu mudah saja dikalahkan oleh Tuk Suji Bilang,maka mereka pulang dan memberi tahu bahawa Tuk Suji Bilang ini seorang yang handal, maka pada keesokan harinya,Batin Saridun telah menghantar pasukan yang lebih ramai dari hari sebelumnya,mereka di arahkan menangkap membunuh saja Tuk Suji Bilang jangan dibiarkan hidup.

 Apabila pasukan ini sampai Tuk Suji Bilang telah menunggu di atas tebing sungai bagi menanti ketibaan mereka, maka berlaku sekali lagi pergaduhan dan perlawanan yang dahsyat,namun akhirnya pasukan yang dihantar itu tewas kepada Tuk Suji Bilang. Mereka pulang dengan hampa dan ini menambahkan lagi kemarahan Batin Seridun. Maka beliau dengan itu telah mempersiapkan satu pasukan yang lebih besar bilangannya mencapai ratusan orang. Pasukan ini dihantar pagi menengkap Tuk Suji Bilang hidup-hidup; maka keesokkan harinya lagi berlaku pertempuran satu lawan ratusan askar Batin Saridun,satu perlawanan yang sgt tidak sepadan. Di dalam perlawanan ini pihak Orang Asli telah menggunakan banyak sumpitan bagi ditujukan kepada Tuk Suji Bilang.maka dengan kuasa Allah yang melindungi hamba-hambanya yang ikhlas, satu pun tidak dapat mengalahkan Tuk Suji Bilang. Kemarahan Batin Seridun semakin memuncak dengan apa yang berlaku, maka beliau sendiri turun memimpin satu pasukan yang terdiri dari lebih seribu orang bagi mengepung dan menangkap Tuk Suji Bilang, maka pada keesokan harinya berlaku lah pertempuran yang dahsyat, beribu-ribu tabung suji di gunakan bagi memanah tubuh badan Tuk Suji Bilang,tetapi tiada suatu pun yang lut,untuk menembusi tubuh badan Tuk Suji Bilang, maka di gelar  oleh Orang Asli dengan nama Tuk Suji Bilang yakni “dah beribu bilang suji  di gunakan” masih tak lut malah sehelai bulu roma pun tak jatuh ke tanah. 

Batin Saridun menerima kekalahan itu dengan hati yang tenang dan Tuk Suji Bilang pula menyatakan harat untuk berkahwin dengan salah seorang anak gadis Batin Seridun. Maka beliau telah memilih salah seorang anak Batin Seridun yang bernama “Tuk Bakul” ,setelah berkahwin nama isterinya ditukar kepada “Tuk Balkis”, maka dari padaperkahwinan itu mereka di kurniakan seorang anak lelaki bernama Zainal Abidin dan seorang anak perempuan bernama Meradah. 


Kemudian beliau membuka perkampungan baru di Tanjung Keramat  untuk Orang Asli yang memeluk Islam. Tujuan dibuka perkampungan baru ini untuk mengasingkan mereka dengan Orang Asli yang masih lagi belum menganut Islam di seberang sungai di kawasan bandar Temerloh.Maka dinamakan orang "Tanjung Keramat" kerana di sana lah Tuk Suji Bilang• membina pusat pengajian untuk mendidik Orang Asli kepada hidup yang lebih tersusun. Beliau juga mengajar Orang Asli cara-cara mencari emas dan berniaga,menyusun kehidupan berumah tangga yang sempurna,mengajar Islam dan Imam sehingga menjadikan kawasan tersebut sebuah bandar baru. 
Hasil perkahwinan Tuk Suji Silang dengan Balkish dikurniakan seorang anak lelaki yang bemama Zainal Abidin dan seorang anak perempuan bernama Meradah .Setelah Zainal Abidin remaja dan menguasai ilmu-ilmu agama. Oleh kerana jasanya yang banyak di Kuala Semantan maka Tuk Suji Bilang telah dilantik menjadi Orang Kaya Temerloh.

Pada masa Negeri Pahang jatuh ke tangan Bugis Lima Bersaudara,Tuk Suji Bilang telah di arah untuk berangkat ke Kedah  bagi mengikuti rombongan Daeng Perani  bagi menyerang Kedah. Angkatan perang tersebut telah kalah di dalam peperangan itu dan kebanyakannya terkorban. Makam beliau tidak diketahui tetapi di percayai berhampiran dengan makam Daeng Patani di Kedah. 
Selepas Tuk Suji Bilang meninggalkan Pahang, Kampung Bangau dikunjungi oleh seorang ulama Bugis yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Ismail (Tuk Bangau) yang membuka sebuah pusat pengajian di sana sekitar tahun 1720-1740.Tuk Bangau merupakan anak kepada Daeng Celak yang juga merupakan saudara kepada Daeng Perani  iaitu seorang dari keturunan Raja Bugis Lima Beradik yang masyhur itu, Tuan Guru Hj Ismail mempunyai seorang anak perempuan yang bemama Mendiah yang kemudiannya berkahwin dengan Tuk Shahibudin.

Jumaat, 2 April 2021

AURA DAN UNTUK MENDAPATKANNYA.

Segelintir mereka yang mencebur diri dalam bidang yang memerlukan suara sebagai penarik orang untuk memdengar. Siapa- siapa boleh bercakap dan menyanyi dengan baik, tetapi tidak semua dapat menyentuh tangkai hati oang untuk mendengar.

Ramai penyanyi yang menpunyai suara yang baik dan ada lagu yang bagus, tetapi bila diperdengarkan di khalayak tidak mendapat perhatian. Mengapa?.

Begitu juga dengan penyampai radio, dj² atau jurucakap, mereka ada pakej yang menarik tetapi akhirnya hanya sekadar suam-suam kuku sahaja dalam kalangan orang ramai.

Ada yang sebalik tetapi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, malah suara mereka ditunggu oleh pendengar. semuanya adalah aura. Adakah aura ini anugerah atau usaha?.

Saya pernah berdiskusi hal ini dengan mereka yang pakar dan tahu bagaimana aura ini. Ianya lebih kepada anugerah dan yang lain itu akan muncul selaras dengan usaha, paling penting ialah keikhlasan dan jujur mereka dalam kerja. Antara intipati untuk menaik aura ialah adalah SEDEKAH.

Jumaat, 12 Februari 2021

TULIS BERITA RADIO/TV

NAK TULIS MACAM MANA NI BOSS?  TULISLAH SEPERTI MANA KAMU BERCAKAP.

1. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apa khabar? Hari ini cuti umum Tahun Baharu Cina. Selamat berehat bersama keluarga dan Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan Tionghua yang meraikannya.

2. Masih ramai rakan-rakan maya mahukan saya terus menulis tentang penulisan media penyiaran sebagai panduan kepada mereka yang langsung tidak mempunyai asas dalam bidang ini. Ada antara mereka kakitangan RTM sendiri yang bertukar ke bahagian berita dan ada juga dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil bidang pengajian media.

3. Baiklah, saya kongsikan pengalaman saya yang tidak seberapa ini dengan anda. Mungkin pengalaman saya sebagai penyunting berita radio dan TV boleh membantu anda memperbaiki penulisan dalam bidang ini.

4. Sekali imbas mungkin ramai beranggapan tidak ada bezanya antara penulisan berita penyiaran (Radio/TV) dengan penulisan media cetak. Walaupun konsep pemberitaannya hampir sama, namun cara penulisan sebenarnya agak berbeza. Kenapa demikian? 

5. Jawapannya kerana medium kedua-duanya berbeza. Akhbar atau majalah untuk dibaca manakala radio atau TV untuk pendengar atau penonton. Justeru, sudah tentu gaya penulisannya berbeza kerana sasarannya berlainan. 

6. Jika akhbar menggunakan bahasa penulisan maka berita penyiaran menggunakan sepenuhnya bahasa percakapan. Dengan lain perkataan, penulisan akhbar untuk tatapan mata manakala berita penyiaran untuk pancaindera telinga.

7. Kajian mendapati, mata mempunyai kemampuan yang lebih berbanding telinga untuk menghantar maklumat terus ke otak. Telinga pula mudah keliru dengan sebutan sesuatu perkataan dan keupayaan “menangkap” sesuatu maksud agak terhad. Oleh itu, bahasa media penyiaran perlu mudah, ringkas dan padat. Seperti yang saya selalu sebut sebelum ini, sentiasa gunakan KISS, Keep it short and simple

8. Tidak seperti pembaca akhbar yang boleh mengulangi perkataan atau ayat   yang tidak difahaminya, pendengar berita radio tidak mempunyai kemampuan demikian. Ini kerana berita radio dibaca sekali lalu sahaja. Tiada ulangan. Tetapi, mungkin ada yang mengatakan, berita radio boleh dirakam dan pendengar boleh mengulang dengar. 

9. Soalnya, berapa ramaikah yang berbuat demikian. Yang ada mungkin hanya stesen pengesan siaran yang ingin mendapatkan kandungan maklumat sesuatu berita. Tetapi yang kita tahu jarang orang merakam berita.

10. Satu lagi ciri penting berita penyiaran ialah ia menggunakan bahasa percakapan bukan bahasa penulisan.  Perhatikan apabila kita berbual dengan kawan-kawan. Kita gunakan bahasa percakapan atau bualan.

11.  Apakah ciri-ciri bahasa percakapan? Kita gunakan bahasa harian dan mudah. Ayat yang kita gunakan pula adalah pendek-pendek dan senang difahami.

12. Kunci penulisan berita penyiaran ialah “Tulis seperti anda bercakap,” antara nasihat yang sering kita dengar daripada penulis terkenal bagi menghasilkan penulisan berita yang baik.

13. Bagaimanapun, perlu diingatkan walaupun kita digalakkan menggunakan   bahasa percakapan tetapi ini tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengabaikan soal nahu dan tata bahasa. Gunakan bahasa yang betul.

 INTRO BERITA PENYIARAN

1. Lead atau intro adalah elemen yang amat penting. Biasanya kita menggunakan konsep piramid terbalik yang menggabungkan elemen 5 W dan 1H (Who, What, How, Where, When, Why) dalam intro. 

2. Kesemua elemen tersebut menjawab apa yang berlaku dalam satu perenggan intro.  Namun bagi berita TV dan Radio, konsep piramid terbalik tidak sesuai digunapakai. Kenapa? Jawabnya, ia akan menjadikan intro terlalu banyak fakta dan ini menyukarkan pendengar untuk memahami maksudnya.

3. Dalam penyiaran, intro beritanya memainkan peranan yang hampir sama dengan tajuk-tajuk berita dalam media cetak. Di sinilah letaknya daya penarik untuk memikat pendengar. Seperti seorang penjual, dia akan menonjolkan kelebihan produknya untuk memikat pembeli.

4. Seseorang penonton atau pendengar akan membuat keputusan untuk terus mengikuti siaran berita berasaskan kekuatan lead atau intro samalah seperti pembaca akhbar. Mereka melihat tajuk berita terlebih dahulu sebelum membaca cerita penuh. Mereka akan beralih ke berita lain jika tidak berminat dengan tajuk yang dibaca. Ini sedikit berbeza dengan media siaran. 

5. Penonton TV misalnya mungkin akan menukarkan siarannya ke stesen TV lain atau menutup terus peti televisyennya. Demikian juga dengan radio. Justeru, pengarang berita penyiaran perlu mengutamakan perkara-perkara berikut semasa membuat intro:

• Tarik perhatian pendengar/penonton dengan mengutamakan inti sesuatu berita.
• Jangan buat intro yang sukar difaham dengan memasukkan terlalu banyak fakta.
• Intro perlu terkini/semasa. 

6. Intro berita penyiaran yang baik seharusnya tidak mengandungi terlalu banyak fakta seperti siapa, apa, kenapa, di mana, bila dan bagaimana (konsep piramid terbalik). Paling banyak ia sepatutnya mengandungi satu atau dua fakta sahaja. Fakta selebihnya bolehlah dimasukkan di perenggan kedua dan ketiga. 

7. Kenapa kita tidak seharusnya memasukkan terlalu banyak fakta? Sebabnya, kita menulis untuk pendengar. Terlalu banyak fakta menyukarkan pendengar untuk memahami maksud yang disampaikan. Jadi, intro berita penyiaran seharusnya padat dan mampu menarik perhatian pendengar. 

8. Satu lagi ciri penting yang perlu ada dalam intro berita penyiaran ialah ia seharusnya bersifat semasa atau terkini. Jadi, tidak seharusnya ada perkataan malam tadi atau semalam dalam intro. Malah, perkataan hari ini juga tidak sepatutnya digunakan kerana memang berita dilaporkan hari ini.

9. Prinsip berita penyiaran ialah berita dilaporkan semasa kejadian berlaku. Jadi,  intro berita mesti terkini, berlainan dengan akhbar yang terbit esok.

10. Jadi, cukup setakat ini saja dulu. Kita sambung di lain kali dengan tajuk yang lain pula. Ingat, sentiasa patuh dan jaga SOP bagi menangani COVID19.

Jumaat, 25 Disember 2020

Labuhkan Tirai 2020





Melabuhkan tirai 2020 dengan makna yang tersendiri.Pengalaman yang berharga bekerja dalam Pandermik Covid 19. Pergorbanan yang tiada tolok bandingnya terutama mereka yang bertugas di "Front Liner"

Secara pribadi pencapaian dalam tahun 2020 boleh dibanggakan kerana mendapat pengiktirafan yang menjadi idaman setiap seorang penerbit dan penyampai di radio.

Apa yang penting anugerah yang diterima bukanlah sesuatu menjadi kita leka, tetapi membuatkan akan lebih kuat lagi untuk terus merajai hati para pendengar.

Semoga tahun 2021 akan menjadi lebih bermakna..


BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi. Jadi Kenangan kerana usaha sendiri. Bukan senang untuk capai impia...