Selasa, 19 April 2016

GURU TERBEBAN TUGASAN PENTADBIRAN


RAMAI beranggapan, tugas sebagai guru hanyalah untuk mendidik anak bangsa di sekolah. Hakikatnya kerjaya sebagai guru kini semakin mencabar dengan tugas mereka bukan lagi sekadar mengajar.

Antara isu yang dikatakan membelenggu guru hari ini adalah beban tugas pentadbiran, terpaksa menjalankan tugas ibu bapa selain tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Bahkan, malah terpaksa menggunakan wang sendiri untuk aktiviti pelajar di luar sekolah.

Cabaran guru masa kini yang ternyata berbeza dengan persepsi sebahagian besar masyarakat. Isu ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Pada 12 Mac lalu, Ahmad Zahid menegaskan guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan kerohanian.

Beban tugas guru terutamanya yang berkait dengan pentadbiran selain mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) ia juga menyebabkan persediaan sebelum mengajar tertangguh.

Seorang guru sekolah menengah di Ipoh, Perak, Helmi Fazlin Baharim, 40, berkata apabila tugas pentadbiran lebih banyak berbanding tugas hakiki, ia boleh memberi kesan kepada kualiti pembelajaran dalam kelas.

Kecewa

“Ramai beranggapan tugas guru mudah tetapi hanya mereka bergelar guru sahaja memahami. Lebih kecewa apabila sistem baharu secara dalam talian dilaksanakan, contohnya data pelajar, dua tiga proses perlu dimasukkan sedangkan maklumat itu adalah sama.

“Sepatutnya sistem yang dibuat perlu diselaraskan. Kadang-kadang bila ada perubahan dalam sistem pendidikan, contohnya PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang diperkenalkan di sekolah rendah pada 2011, banyak benda guru kena lihat balik jadi macam sia-sia kerja sebelum ini,” katanya. Sependapat dengan Helmi, guru ekonomi di sekolah menengah di Klang, Selangor Raudhah Sharan, 30, berkata, guru-guru terpaksa menggunakan masa terluang di sekolah untuk membuat kerja pentadbiran yang sama dan berulang kali, sehingga kadang-kadang mereka tidak sempat hendak membuat persiapan mengajar.

“Bila balik ke rumah kena buat persiapan mengajar sampaikan tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri,” katanya yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, isu guru dibebankan dengan kerja pentadbiran sering menjadi keluhan dalam kalangan warga pendidik.

Walaupun pelbagai kajian dan perbincangan telah dibuat namun beliau berkata masalah tersebut masih berlaku dan paling dikesalkan ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Isu ini sudah banyak kali dibangkitkan akan tetapi tiada tindakan. Apabila tiada tindakan ini akan melemahkan semangat guru-guru untuk menjalankan tugas hakiki mereka” katanya.

Dalam pada itu, Hashim turut menyentuh mengenai sikap segelintir ibu bapa yang meletakkan ‘tanggungjawab’ ibu bapa sepenuhnya kepada guru-guru malah ada yang mempertikaikan kemampuan guru dalam mendidik anak mereka jika anak mereka gagal.

“Guru kini sudah tidak mempunyai kuasa (penuh) untuk mendidik anak-anak mereka kerana jika ‘tersentuh’ sedikit sudah pasti ibu bapa akan melenting dan memarahi guru,” katanya

Bagi Prof. Madya Muhammad Faizal A.Ghani dari Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), beban tugas yang tinggi boleh menyebabkan golongan guru kurang bermotivasi untuk mencapai prestasi cemerlang.

Katanya, dalam hal ini guru juga harus tahu cara untuk menangani tekanan dan beban tugas itu.

“Hal tersebut boleh mengganggu tahap kompetensi dan kehidupan berkeluarga guru. Misalnya, program perkembangan profesionalisme guru (latihan profesional), kebanyakan program diadakan pada hujung minggu dan ini menyebabkan guru tiada masa bersama keluarga,” katanya.

Muhammad Faizal berkata, dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan, budaya kolaboratif melibatkan kerjasama pelbagai pihak sangat penting. Katanya, ini bagi memastikan proses P&P di peringkat sekolah berjalan lancar sekali gus dapat memantapkan profesionalisme guru di negara ini.

“Kerjasama itu melibatkan pihak berkepentingan dalam pendidikan seperti kerajaan, sekolah dan guru selain sokongan ibu bapa,” katanya.

Masyarakat juga boleh memainkan peranan membantu pihak sekolah untuk meningkatkan pembelajaran murid-murid. Misalnya, ibu bapa berkepakaran dalam sesuatu bidang memberikan sokongan moral dalam aspek kepakaran dan tenaga.

Pembantu guru

Negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat sentiasa mengutamakan kebajikan dan memberi sokongan kepada guru kerana bidang pendidikan adalah penyumbang kepada pembangunan insan dan negara.

“Di Amerika Syarikat tugas guru hanya mengajar, kerja-kerja pentadbiran dilakukan oleh pembantu guru misalnya mengambil rekod kedatangan pelajar, mengutip bayaran yuran sekolah dan mencatat minit mesyuarat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk, Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, langkah menempatkan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG), dilihat sangat membantu dalam meringankan beban guru secara komprehensif.

Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer Gred FT17 (JK FT17) ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB).

Setakat ini, hanya Melaka dan Kedah terlibat dengan projek rintis itu. – Bernama

Tiada ulasan:

BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi. Jadi Kenangan kerana usaha sendiri. Bukan senang untuk capai impia...