Isnin, 1 Ogos 2016

AFASIA, APAKAH AFASIA?


Sewaktu  bertugas ,saya sering berbual dengan ramai orang dan kadang-kadang bertanyakan soalan yang berbagai tak kira lapisan usia, sebenarnya ketika bertugas mulut saya lebih "ringan" dari waktu biasa, ada masa bila saya ajukan soalan, lain ditanya lain dijawab, saya anggap orang yang ditanya kurang pendengaran, tapi bila saya terjumpa satu artikel terbitan harian metro, barulah saya faham
Sukar untuk mengungkapkan sesuatu perkataan, lain yang ingin diucap lain pula yang keluar dari mulut. Apa yang orang lain ucapkan disalahfahamkan pula, selain susah untuk membaca, bermasalah mengeja dan membentuk perkataan untuk melengkapkan ayat adalah antara masalah dialami individu dengan afasia.
Afasia ialah masalah komunikasi disebabkan oleh kecederaan pada bahagian otak yang menempatkan pusat bahasa yang terjadi pada individu lepas peringkat pemerolehan bahasa.
Akibat gangguan pada bahagian otak, afasia memberi kesan terutama kepada kemahiran memahami bahasa, bahasa sebutan, membaca dan menulis pada tahap yang berbeza.
Menurut Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Nurul Hidayah Dean Kamarudin, ada dua jenis afasia yang utama iaitu afasia lancar dan afasia tidak lancar.
Pesakit yang mengalami afasia lancar mempunyai kemahiran memahami bahasa yang teruk. Mereka boleh bercakap dengan lancar dan menggunakan ayat yang panjang tetapi tiada makna atau tidak tepat pada konteks. Kemahiran mengulang sebutan juga kebiasaannya teruk.
Afasia tidak lancar membabitkan pesakit menghadapi masalah untuk bercakap. Pesakit akan menghadapi kesukaran untuk menggunakan ayat dengan baik. Bahasa sebutan akan kedengaran seperti tersekat dan terhenti-henti.
Lazimnya, pesakit yang mengalami afasia tidak lancar mempunyai kefahaman bahasa yang baik atau hanya terganggu sedikit. Kemahiran mengulang sebutan pula ada yang baik dan ada yang teruk.
“Afasia boleh berlaku disebabkan kecederaan otak akibat strok, kecederaan otak trauma kerana kemalangan, kanser otak dan masalah neurologi progresif. Setakat ini, tiada statistik kes afasia di Malaysia.
“Bagaimanapun, berdasarkan statistik dari United Kingdom, bilangan kes afasia bertambah sebanyak 20,000 kes setiap tahun,” katanya.
Nurul Hidayah berkata, tiada individu atau kumpulan tertentu yang menjadi sasaran afasia berikutan ia melanda mereka yang mengalami kerosakan pada otak yang mengawal bahasa akibat pelbagai punca.
“Afasia kerap berlaku biasanya disebabkan serangan strok, namun kerosakan otak akibat kecederaan otak trauma, kanser otak dan masalah neurologi progresif terutama di bahagian sebelah kiri otak juga boleh menyebabkan pesakit mengalami afasia.
“Walaupun tidak dinafikan kebanyakan pesakit yang mengalami afasia golongan dewasa, tidak pula bermaksud kanak-kanak tidak mungkin mendapat penyakit ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa SunMed, Cecilia Santiago berkata, masalah afasia adalah sepanjang hayat kerana apabila bahagian otak yang menempatkan bahagian bahasa cedera, tisu-tisu otak itu langsung mati.
Bagaimanapun, otak memiliki kebolehan yang dipanggil neuroplasticity. Melalui neuroplasticity, tisu-tisu otak yang masih baik akan cuba mengambil alih tugas tisu yang mati.
“Tugas pakar terapi pertuturan dan bahasa adalah membantu tisu-tisu otak yang masih baik untuk mempelajari kemahiran tisu-tisu mati. Prognosis setiap pesakit berbeza dan bergantung pada beberapa faktor seperti tahap keterukan kecederaan otak dan usia pesakit sewaktu mengalami kecederaan otak.
“Kecederaan otak pada tahap ringan dan pesakit yang lebih muda berpotensi untuk memperoleh kemahiran bahasa dengan lebih cepat,” katanya.
Faktor lain yang turut mempengaruhi rehabilitasi termasuk sokongan keluarga, inisiatif pesakit untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, masa yang digunakan untuk berkomunikasi, persekitaran pesakit yang menggalakkan komunikasi atau tidak dan emosi pesakit.
Cecilia berkata, dalam berkomunikasi dengan orang yang mengalami afasia, perlu kenal pasti lokasi kecederaan otak dan jenis afasia pesakit kerana setiap pesakit afasia mempunyai kemahiran bahasa yang berbeza.
“Mereka mempunyai kelebihan dan kelemahan yang berbeza, maka cara berkomunikasi dengan setiap pesakit juga berbeza. Komunikasi antara individu juga tidak semestinya secara verbal.
“Komunikasi adalah kebolehan individu menerima, memproses, memahami dan menghantar bahasa. Komunikasi boleh berlaku secara verbal (percakapan) atau tidak verbal (tulisan, bahasa isyarat, visual atau grafik dan simbol).
“Jika individu yang mengalami afasia tidak berupaya kembali kepada komunikasi verbal, ada juga cara berkomunikasi alternatif yang menggunakan alat-alat elektronik bagi membantu mereka berkomunikasi dengan lebih cekap,” katanya.
Katanya, afasia tidak menjejaskan kecerdasan otak seseorang kerana penyakit ini hanya masalah bahasa. Afasia cuma menyebabkan individu mengalami masalah bahasa, pertuturan, membaca dan menulis pada tahap tertentu tanpa mengganggu kecerdasan akal.
“Afasia itu sendiri tiada apa-apa kesan pada kemahiran kognitif atau kebolehan berfikir individu. Namun, afasia boleh wujud bersama masalah kognitif.
“Kebanyakan pesakit afasia juga mengalami masalah fizikal atau lumpuh yang berlaku apabila bahagian otak yang mengawal saraf badan cedera lalu mengakibatkan lumpuh di bahagian muka, tangan, badan atau kaki.
“Tahap keseriusan masalah fizikal bagi setiap individu berbeza. Bagi yang tidak teruk, anggota fizikal mereka mungkin hanya sedikit lemah pada peringkat awal, tetapi berupaya untuk kembali kepada kebolehan fizikal yang asal selepas menjalani fisioterapi,” katanya.
Menurut Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa SunMed, Shalini Anne Rajasegaran, kesan afasia bagi setiap individu adalah berbeza kerana tidak ada pesakit yang mempunyai tahap kemahiran bahasa yang sama selepas mengalami afasia.
Disebabkan kebanyakan pesakit afasia juga mengalami masalah fizikal pada tahap yang tertentu, mereka memerlukan penjaga untuk membantu dalam kehidupan dan komunikasi harian.
Tetapi tidak bermaksud mereka tidak perlu berkomunikasi dan hanya bergantung kepada penjaga. Sebenarnya pesakit afasia amat digalakkan untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling dengan apa jua teknik yang sesuai dengan kebolehannya bagi meningkatkan kemahiran bahasa.
“Bagi kes membabitkan pesakit tidak berupaya untuk berkomunikasi secara verbal dengan efektif, mereka memerlukan penjaga untuk membantu mereka memenuhi keperluan harian. Peluang untuk pesakit afasia kembali bekerja turut bergantung kepada tahap serius afasianya dan perkembangan pesakit dalam sesi terapi.
“Kebanyakan pesakit yang mengalami afasia tahap ringan ke sederhana yang mempunyai prognosis baik dan menghadiri terapi pertuturan dan bahasa yang intensif, mereka berupaya meningkatkan kemahiran pertuturan dan bahasa ke tahap yang optimum membolehkan mereka mampu untuk kembali bekerja.
“Bagi pesakit yang mengalami afasia tahap teruk biasanya mempunyai prognosis yang kurang baik. Mereka mungkin memerlukan teknik berkomunikasi yang lain dan bergantung kepada kemahiran komunikasi mereka. Oleh itu, amat penting bagi pesakit afasia untuk mendapatkan terapi pertuturan dan bahasa dari peringkat awal,” katanya.
Shalini Anne berkata, kebanyakan hospital awam dan swasta ada menawarkan khidmat terapi pertuturan dan bahasa untuk pesakit yang mengalami afasia. Bagi yang mengalami afasia disebabkan strok, Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM) menyediakan perkhidmatan terapi pertuturan dan bahasa di pusat tertentu.

Sumber Arikel : Petikan Harian Metro
My IG #amieytee

Tiada ulasan:

BERJAYA ITU SUKAR

Impian semua pelajar mendapat anugerah tertinggi. Jadi Kenangan kerana usaha sendiri. Bukan senang untuk capai impia...