Gambar Sekadar Hiasan |
TIDAK kira jenis syarikat atau perniagaan, antara faktor yang
menentukan kejayaan adalah pekerja yang tekun, produktif dan boleh dipercayai.
Pekerja sebagai modal insan sesuatu syarikat merupakan faktor penentu kejayaan.
Pekerja yang produktif perlu merasa selesa bekerja dan perlu
yakin bahawa pihak pengurusan prihatin dan senantiasa menjaga kesejahteraan dan
perkembangan kerjaya mereka. Sebarang ketidakpuasan mereka diberi perhatian dan
diselesaikan secara wajar.
Usaha
bagi menarik minat pekerja untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugasan harian
harus dilaksanakan secara berterusan. Strategi berterusan untuk mewujudkan
budaya kerja yang memberangsangkan akan meningkatkan prestasi pekerja, pencapaian
dan penambahbaikan organisasi secara berpanjangan. Budaya seperti ini akan
melahirkan pekerja yang senantiasa asyik melakukan tugas yang
dipertanggungjawabkan dengan aktif, ceria dan pantas.
Pekerja
yang produktif mempunyai integriti dan sikap yang betul terhadap pekerjaan..
Mereka tabah dalam menghadapi cabaran dan rintangan dengan sikap positif, tidak
sombong atau cepat berpuas hati. Mereka setia kepada organisasi, mengamalkan
meritokrasi, dan mahu belajar secara berterusan dan mengikuti perkembangan
teknologi supaya tidak menjadi redundan.
Ketekunan
pekerja mempunyai kaitan dengan produktiviti. Pekerja akan tekun dan komited
jika mereka dipertanggungjawabkan dengan penuh kepercayaan dan mereka sendiri
boleh memantau dan mengukur hasil prestasi kerja mereka.
Pekerja akan menjadi fokus apabila matlamat pencapaian berpadanan
dengan matlamat pencapaian diri. Bagi tujuan ini, komunikasi yang efisien
antara majikan dan pekerja adalah penting. Pekerja harus dibekalkan dengan
garis panduan dan semua maklumat tentang pekerjaan yang dijalankannya. Pekerja
juga perlu memahami dengan baik semua rutin dan proses-proses kerja supaya
pekerja jelas bagaimana usaha dan ketekunan mereka mempengaruhi pencapaian
matlamat dan prioriti bisnes firma berkenaan serta output yang dikeluarkan.
Pekerja harus juga disokong dalam menjalankan tugas. Bimbingan
dan tunjuk ajar harus mudah untuk diperoleh. Ini akan mengurangkan stres.
Penyelia harus dapat membantu jika pekerja mengalami masalah
Budaya pekerja yang tekun hanya akan terhasil jika pihak
pengurusan senantiasa meningkatkan prestasi mereka sendiri dalam memimpin
pekerja. Majikan yang menaruh kepercayaan terhadap pekerja akan mendapati
bahawa pekerja juga akan menaruh kepercayaan terhadap majikan.
Masa
lapang dan masa cuti pekerja dan komitmen terhadap keluarga dihormati. Dengan
keprihatinan seperti ini, pekerja akan sanggup melakukan kerja lebih daripada
apa yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan disertakan bersama nilai
tambah masing-masing untuk kebaikan syarikat.
Artikel ini Pandangan Pribadi
MyIG : amieytee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan